Wednesday, June 8, 2011

Kemahiran Bernilai Tambah

Kemahiran bernilai tambah ialah kemahiran yang diajarkan dalam bilik darjah serta dapat diaplikasikan dalam dunia sebenar murid dan senario dunia yang global. Kemahiran bernilai tambah yang dimaksudkan ialah kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme, dan pembelajaran kontekstual. Penerangan ringkas tentang kemahiran bernilai tambah dinyatakan seperti berikut:


Kemahiran Berfikir

Kemahiran berfikir diajarkan kepada murid melalui soalan dan aktiviti yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran berfikir, sama ada dari segi mengkonsepsikan idea, menyelesaikan masalah, atau membuat keputusan adalah penting dalam kehidupan harian dan kerjaya murid padamasa depan.


Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi perlu diajarkan kepada murid supaya mereka dapat menggunakan komputer untuk tujuan komunikasiseperti menghantar dan menerima e-mel, menggunakan aplikasi perisian dalam menyempurnakan tugasan harian, dan mengakses maklumat melalui internet.

Kemahiran Belajar Cara Belajar

Kemahiran belajar cara belajar perlu diajarkan kepada murid supaya mereka peka terhadap teknik pembelajaran yang berkesan. Penguasaan kemahiran ini membolehkan murid meningkatkan pengetahuan dan cekap bertindak untuk menghadapi dunia yang sering berubah, dan mengamalkan pembelajaran seumur hidup.


Kajian Masa Depan

Kajian masa depan ialah satu pendekatan pengajaran untuk mendidik murid agar lebih prihatin terhadap sesuatu perkara atau isu yang berlaku pada masa lampau, masa kini, dan masa depan. Ini bermakna murid dapat membuat ramalan, menjangka akibat, serta mengendalikan perubahan supaya murid mendapat manfaat yang maksimum.


Kecerdasan Pelbagai

Kecerdasan pelbagai merangkumi verbal-linguistik, logik-matematik, muzik, kinestetik, visual-ruang, interpersonal, intrapersonal, dan naturalis. Oleh itu, guru perlu mengembangkan potensi kecerdasan murid dengan menyediakan gaya pembelajaran yang sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka kerana setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan yang berbeza.


Pembelajaran Konstruktivisme

Pembelajaran konstruktivisme dalam pendidikan dapat melahirkan murid yang boleh membina pemahaman dan pengetahuan baru mereka sendiri berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Pembelajaran ini menjadikan murid lebih faham, yakin, dan seronok untuk belajar sepanjang hayat

Pembelajaran Kontekstual

Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian mur id, masyarakat, dan alam pekerjaan. Pembelajaran ini disampaikan dalam persekitaran yang pelbagai, secara konkrit, serta melibatkan latih amal dan berfikir. Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan pengetahuan baru secara bermakna dan menghayati kerelevanan pembelajaran dengan kehidupan mereka.

No comments:

Post a Comment