Wednesday, June 1, 2011

Asas Nyanyian

Nyanyian adalah aktiviti muzikal yang paling awal. Dalam muzik nyanyian dinamakan vokal. Terdapat dua jenis nyanyian iaitu nyanyian secara humming dan nyanyian menggunakan lirik lagu. Nyanyian secara humming adalah nyanyian menggunakan bunyi huruf vokal contohnya La la la, Di di di, Mu mu mu mu, Ta ta, Ti ti ti dan sebagainya. Nyanyian dengan lirik ialah nyanyian lagu menggunakan lirik lagu.

Bunyi terhasil dari getaran sesuatu. Contohnya apabila meja diketuk, permukaan meja akan bergetar dan bunyi pun terhasil. Begitu juga dengan suara manusia. Atau apabila trumpet ditiup, udara dalam trumpet akan bergetar dan oleh itu bunyi trumpet terhasil.

Biasanya, semasa bernafas, udara dari paru-paru akan melalui larynx dan terus keluar tanpa mengeluarkan bunyi. Apabila hendak mengeluarkan bunyi, vocal cords (pita suara) akan dikawal supaya ia dapat menggetarkan udara yang melaluinya. Dengan cara itu suatu bunyi akan terhasil.

Gabungan antara gigi, lidah dan bibir akan membentuk bunyi menjadi bunyi konsonan dan vokal. Simbol bagi vokal dan konsonan adalah huruf-huruf.

Pic-pic muzik adalah besar atau kecilnya sesuatu bunyi. Semakin nyaring bunyi maka semakin tinggi picnya. Kadar ketegangan vocal cords mempengaruhi ketinggian pic. Semakin tegang vocal cords, maka semakin tinggi pic suara yang dihasilkan. Penyanyi yang mempunyai suara yang tinggi mempunyai vocal cords yang kuat.

Kakuatan bunyi (volume) ditentukan oleh kuatnya tekanan udara dari paru-paru. Dalam muzik kekuatan bunyi disebut sebagai dinamiks. Istilah kuat atau lembut menunjukkan tahap dinamik pada muzik.

Julat pic ialah jarak antara pic paling rendah dengan pic paling tinggi dapat dihasilkan oleh seseorang. Penyanyi yang baik mempunyai julat pic yang besar

¯ Postur

Dalam nyanyian, tubuh badan manusia sama seperti alat muzik. Semasa menyanyi postur adalah amat penting. Postur mempengaruhi cara pernafasan, mutu pengeluaran suara dan keseluruhan nyanyian seseorang.

Postur Semasa Nyanyian Secara Berdiri

Berdiri tegak, kaki direnggang sedikit. Imbang badan di kedua-dua belah kaki dan keseluruhan anggota dalam keadaan selesa

1. Tangan di sisi badan.

2. Dada ke hadapan, bahu ke belakang dan elakkan dari mengangkat bahu.

3. Kepala ditegakkan dan pandangan lurus ke hadapan.

Postur Semasa Nyanyian Secara Duduk

1. Duduk tegak, kaki direnggang sedikit, kedua-dua tapak kaki di lantai dan dalam keadaan selesa.

2. Tangan di atas peha.

3. Duduk di separuh bahagian hadapan kerusi dan jangan bersandar.

4. Dada ke hadapan, bahu ke belakang dan elakkan dari mengangkat bahu.

5. Kepala ditegakkan dan pandangan lurus ke hadapan.

Pernafasan

Pernafasan yang terkawal adalah asas kepada nyanyian yang baik. Dalam nyanyian. Mulut dan kerongkong perlu dibuka luas untuk memberi laluan udara yang banyak bagi menghasilkan ton yang lebih resonan.

Sebutan dan Ton

Dalam menyanyi, sebutan bunyi vokal dan konsonan haruslah jelas. Bagi menghasilkan sebutan yang jelas, ciri-ciri berikut memainkan peranan yang penting.

Ciri-ciri ton nyanyian meliputi

· Tenaga

· Pembentukan alat vokal ( bibir dan lidah )

· Kekuatan bunyi

· Harkat (panjang dan pendek)

Pernafasan dan bentuk mulut yang betul mengasilkan sebutan yang baik, kualiti ton dan intonasi yang baik. Bunyi konsonan pada permulaan dan akhir suatu perkataan perlu ditekankan semasa latihan.

Jenis Jenis Suara

Dalam nyanyian, terdapat 3 jenis suara iaitu

· Suara kepala

· Suara tengah

· Suara dada

Suara kepala ialah istilah yang digunakan bagi menerangkan suara yang dirasai dikeluarkan dari ruang di kepada. Untuk mendapat suara kepala yang bermutu, kawalan pernafasan yang betul adalah perlu. Suara kepada akan membantu pelajar lelaki semasa mengalami perubahan suara.Ia juga memberi persediaan dalam penggunaan nyanyian falsetto.

Suara Tengah ialah istilah yang digunakan bagi menerangkan perletakan suara yang di rasai dikeluarkan dari paras hidung ke kerongkong.

Suara dada adalah istilah yang digunakan bagi menerangkan suara yang dirasai dikeluarkan dari ruang dada. Untuk merasai suara ini, nyanyi pic rendah dengan meletakkan tangan di dada. Getaran dada akan dirasai pada tangan.

Tangga Nada Solfa

Seorang paderi berbangsa Perancis, bernama Guido d’ Arenzo telah mencipta satu kaedah untuk mengajar nyanyian semerta dikalangan rahib pada abad ke-11. Arenzo menggunakan 6 not iaitu

Do Re Mi Fa Sol La

Sistem nyanyian ini kemudiannya digunakan dengan meluas untuk nyanyian sekular ( bertemakan cinta dan isu semasa ). Sistem ini adalah sama dengan tangga nada solfa yang digunakan untuk latihan nyanyian sehingga hari ini. Hari ini Ut telah digantikan dengan Do manakala pic Ti ditambah selepas La.


No comments:

Post a Comment