Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca, dan kemahiran menulis. Kemahiran Bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku.
Kemahiran Mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami, dan menghayati perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas.
Kemahiran Bertutur merujuk kepada keupayaan murid berbicara secara lisan untuk menjalin hubungan, menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif, dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang betul.
Kemahiran Membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan ilmu dan sastera secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan. Di samping itu, murid berupaya menghayati teks yang dibaca.
Kemahiran Menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat, serta mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan ilmu dan imaginatif.
No comments:
Post a Comment