Thursday, May 10, 2012

Pengajaran Karangan




PENGAJARAN KARANGAN 

PENDAHULUAN
DALAM pengajaran bahasa terdapat beberapa kemahiran yang perlu diajarkan oleh guru kepada pelajar. Kemahiran-kemahiran itu diajarkan secara berperingkat-peringkat iaitu kemahiran mendengar yang merupakan kemahiran asas, kemahiran bertutur, membaca dan kemahiran menulis.
Antara keempat-empat kemahiran itu, kemahiran menulis adalah kemahiran yang tertinggi kerana kebanyakan kegiatan menulis adalah digunakan secara formal (seperti menyalin nota, menjawab soalan dan bentuk esei).
Kemahiran mengarang adalah salah satu jenis kemahiran yang terdapat dalam kemahiran menulis. Mengarang merupakan satu kemahiran yang perlu diajarkan dan diberi latihan kerana ia penting dikuasai sebaik mungkin oleh setiap pelajar sebab sebahagian besar proses pendidikan formal memerlukan kerja-kerja menulis dan mengarang. Mengarang adalah kaedah untuk menyampaikan maklumat, idea, peranan dan pendapat.
Rencana ini hanya akan menfokuskan kepada salah satu jenis kemahiran menulis iaitu kemahiran mengarang selain pengaplikasiannya - pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai dan boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Rencana ini juga akan membincangkan antara permasalahan yang berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran karangan di sekolah-sekolah di negara ini secara umum.
DEFINISI KARANGAN
Karangan bermaksud ciptaan, gubahan, compose (seperti mengarang cerita, lagu, sajak, surat kiriman) dan karya. Menurut Sidang Penyusun (1984:463), ia bermaksud khayalan dan rekaan. Menurut Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam (1985:200), karangan ialah penglahiran perasaan dan fikiran secara bertulis berdasarkan tajuk yang diberikan oleh guru dalam jumlah perkataan yang terhad dan masa yang telah ditetapkan oleh guru.
Melalui pengajaran membuat karangan khasnya dalam konteks pendidikan formal, pelajar secara tidak langsung akan dapat melahirkan pendapat, ulasan dan komen tentang sesuatu tajuk atau isu. Dalam erti kata lain, karangan merupakan latihan untuk melahirkan fikiran, perasaan dan idea secara bebas tapi dikawal oleh arahan, peraturan dan tajuk yang telah disediakan guru.
Dalam konteks bilik darjah, karangan bermaksud penceritaan sesuatu tajuk dalam bentuk ayat secara bertulis dan berperenggan yang dimulakan dengan pengenalan, isi dan kesimpulan.
KARANGAN DALAM
PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN BAHASA
Menulis atau menghasilkan karangan adalah satu kemahiran yang penting dalam penguasaan bahasa. Sesebuah karangan atau wacana itu sendiri didirikan oleh pelbagai ciri kebahasaan yang meliputi perkataan, rangkai kata atau frasa dan ayat. Oleh itu dalam pengajaran karangan, guru akan dapat melihat dan menilai sejauh mana kebolehan pelajar mengaplikasi dan menggunakan kemahiran-kemahiran bahasa yang telah mereka pelajari (mengikut tahap pencapaian dan IQ pelajar).
Pengajaran karangan secara umum meliputi pengajaran dan pengaplikasian aspek-aspek bahasa yang lain seperti pengajaran tatabahasa, fonetik, fonologi dan semantik.
Melalui pengajaran karangan di sekolah-sekolah sama ada di peringkat rendah mahupun di peringkat menengah, pelajar sebenarnya dilatih untuk mengungkapkan gagasan, buah fikiran dengan tepat dan jelas tentang segala macam perkara, baik yang berbentuk akademik ataupun kegiatan-kegiatan harian dan pengalaman dalam berbagai jenis tulisan.
Latih tubi yang dialami di bilik darjah diharap akan dapat diaplikasi oleh pelajar ke peringkat seterusnya dan yang paling penting kemahiran itu akan dapat memudahkannya berkomunikasi dengan masyarakat misalnya menulis surat permohonan kerja.
TUJUAN PENGAJARAN KARANGAN
Pengajaran karangan bagi pelajar sekolah menengah menurut Kamarudin Hj. Husin (2002:280-281) mempunyai beberapa tujuan:
(a) Membolehkan pelajar:
i) bercerita;
ii) berhujah atau bersyarah mengenai sesuatu kejadian, cerita atau tajuk perbincangan.
(b) Membolehkan pelajar mengarang:
i) pengalaman sendiri;
ii) cerita;
iii) penerangan atau laporan dan hal-hal persekitaran sendiri;
iv) pengalaman, pendapat, fikiran dan hujah-hujah mengenai beberapa perkara yang sesuai;
v) surat kiriman formal dan non-formal.
JENIS-JENIS KARANGAN
Menurut Zainol Ismail (2003:7), berdasarkan bentuk, karangan dibahagikan kepada dua jenis iaitu karangan berformat dan karangan bebas. Manakala bagi Salleh Mohd. Akib (dalam Kamarudin Hj. Husin, 1988:198), karangan dibahagikan kepada tiga jenis iaitu karangan lisan, karangan bertulis dan karangan terkawal. Walau bagaimanapun penulis berpendapat karangan boleh dibahagikan kepada dua jenis - secara yang lebih mudah difahami iaitu karangan lisan dan karangan bertulis yang akan dihuraikan secara ringkas dalam rencana ini.
KARANGAN LISAN
Karangan lisan adalah satu aktiviti latihan bercakap untuk mengarang dengan menggunakan bahasa yang diajarkan lalu mempraktikkannya di dalam bilik darjah. Menurut Kamarudin Hj. Husin (2001:281), antara aktiviti-aktiviti dan teknik-teknik pengajaran yang dapat dijalankan dan digunakan oleh guru untuk melaksanakan pengajaran karangan jenis ini:
(a) Bersoal jawab mengenai perkara-perkara yang telah dialami oleh pelajar dalam kehidupan sehari-hari;
(b) Menceritakan semula cerita yang didengar daripada ibu bapa, guru, individu lain atau buku dan majalah yang pernah dibaca;
(c) Karangan bergambar iaitu latihan bercakap mengenai gambar (atau carta aliran) yang disediakan oleh guru;
(d) Ucapan-ucapan yang disediakan oleh pelajar berkaitan dengan pengalamannya.
Berdasarkan aktiviti-aktiviti di atas dapatlah dikatakan bahawa karangan lisan merupakan satu cara untuk memperkukuhkan lagi tabiat bercakap dan berfikir dalam bahasa yang diajarkan di samping melatih pelajar menyebut lambang-lambang dan bunyi-bunyi bahasa dengan betul.
KARANGAN BERTULIS
Karangan bertulis adalah kesinambungan daripada karangan lisan. Lazimnya karangan jenis ini dilakukan selepas pelajar menjalani latihan-latihan praktikal dalam bahasa lisan yang dapat dibahagikan kepada dua bahagian:
(a) karangan terkawal
(b) karangan bebas
KARANGAN TERKAWAL
Menurut Salleh Mohd. Akib (dalam Kamarudin Hj. Husin, 2001:283), karangan terkawal ialah karangan yang segala isi dan bahasanya dikawal oleh guru. Susunan yang terdapat dalam karangan ini adalah sentiasa dikawal ketat, diawasi dan pelajar perlahan-lahan dipimpin ke arah menulis karangan bebas. Tujuan pengajaran karangan terkawal adalah bagi mengurangkan kesilapan-kesilapan berlaku di kalangan pelajar.
Jenis karangan ini dapat pula dibahagikan kepada tiga sub-bahagian iaitu sepenuhnya terkawal, separuh terkawal dan hampir terkawal.
SEPENUHNYA TERKAWAL (~100%)
Dalam karangan jenis ini, pelajar dibimbing dan dikawal seratus peratus atau secara menyeluruh untuk menulis karangan supaya tidak melakukan kesilapan. Ia dapat dikatakan karangan level pertama dan sebagai asas penulisan karangan (biasanya dipraktikkan di peringkat rendah bawah). Biasanya pelajar hanya akan menyalin segala apa yang ditulis oleh guru di papan tulis.
SEPARUH TERKAWAL (~75%)
Pada tahap ini, pelajar masih berada dalam kawalan guru tetapi tidak seketat tahap pertama. Sebaliknya pelajar diberikan peluang untuk menggunakan daya pemikiran mereka untuk memilih perkataan yang sesuai dengan pengajaran guru atau tajuk yang diberikan.
HAMPIR TERKAWAL (~50%)
Pada tahap ini, guru mengurangkan kawalan ke tahap yang minima tetapi masih memandu pelajar membuat karangan yang diarahkan. Guru dapat mengenal pasti kelemahan pelajar berdasarkan kesalahan-kesalahan yang mereka dilakukan. Sungguhpun ramai pelajar yang akan melakukan kesalahan tetapi melalui latihan yang kerap dilakukan pelajar dan bantuan guru, mereka akan dapat memperbaiki penulisan karangan masing-masing.
KARANGAN BEBAS
Karangan bebas bermaksud guru memberikan tajuk yang umum dan pelajar akan menumpukan perhatian mereka kepada apa yang hendak ditulis dan bukan lagi menumpukan bagaimana untuk menulisnya.
Pengajaran karangan jenis ini hanya dapat dilakukan apabila pelajar sudah boleh menguasai bahasa dengan baik. Oleh itu, guru lebih banyak bertindak selaku pembimbing sambil menumpukan perhatiannya kepada isi dan kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pelajar. Contohnya dengan karangan yang bertajuk 'Lawatan Ke Tasik Merimbun'.
Dalam mengajar karangan yang berbentuk bebas, guru perlu memastikan bahawa pelajarnya mampu menguasai pengetahuan asas seperti jenis-jenis ayat, kelas-kelas kata dan tanda-tanda baca dengan sebaik dan sebanyak mungkin.
Dalam hal ini, guru perlu membimbing dan membantu pelajar di samping menekankan aspek penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) dan aktiviti-aktiviti pengajaran yang berkesan termasuk faktor kekayaan perbendaharaan kata yang dimiliki pelajar, keupayaan mengatur dan memilih perkataan atau perbendaharaan kata yang betul dan pengekalan struktur ayat yang gramatis supaya karangan pelajar mengandungi kesalahan yang minima dan hasilkan karangan yang baik.
Pada peringkat sekolah menengah, skop menulis karangan diperluaskan lagi kepada beberapa jenis bentuk penulisan karangan yang lain, antaranya:
(a) Karangan yang berbentuk deskriptif iaitu karangan yang meliputi gambaran suasana, peristiwa, majlis dan benda.
(b) Karangan yang berbentuk naratif iaitu karangan yang merangkumi jenis-jenis cerita, berita, laporan, rencana dan ulasan/komentar.
(c) Karangan yang berbentuk imaginatif iaitu karangan yang berkait rapat dengan pengalaman dan khayalan termasuklah karangan yang mempunyai ciri-ciri kreatif seperti cerpen dan sajak.
(d) Karangan yang berbentuk argumentatif iaitu karangan tentang perbincangan, kritikan dan perbahasan.
PENDEKATAN, KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN KARANGAN
Dalam pengajaran aspek-aspek bahasa termasuk pengajaran karangan sememangnya terdapat pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik yang dapat diaplikasi. Tidak ada satu pendekatan, kaedah dan teknik yang paling sesuai digunakan di bilik darjah melainkan masing-masing perlu disesuaikan dengan tajuk karangan yang akan diajarkan. Ia bergantung kepada kebijaksanaan guru kerana yang penting ialah pelajar dapat turut serta dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di bilik darjah. Pengajaran dan pembelajaran mestilah berpusatkan pelajar dan guru hanyalah bertindak selaku pemudah cara.
PENDEKATAN
Rencana ini mengemukakan pendekatan pengajaran penulisan yang dinyatakan oleh Raimes (dalam Juriah Long dkk, 1990:214) yang antaranya:
(a) Pendekatan Terkawal
(b) Pendekatan Bebas
(c) Pendekatan Pola-Perenggan
(d) Pendekatan Komunikatif
PENDEKATAN TERKAWAL
Menerusi pendekatan ini, guru memandu dan mengawal pelajar daripada melakukan kesalahan. Pada peringkat permulaan, kawalan yang diberikan guru adalah secara menyeluruh. Pada peringkat seterusnya semakin berkurangan. Bagaimanapun pelajar masih diberi kebebasan untuk memilih perbendaharaan kata atau struktur ayat mereka sendiri.
Sebagai contoh bentuk-bentuk kawalan yang diberikan guru adalah dengan menyediakan sebuah karangan yang menghendaki pelajar mengisi tempat-tempat kosong dengan perkataan yang sesuai; guru memberi senarai frasa yang berkaitan dengan sesuatu tajuk dan pelajar perlu membuat ayat untuk melengkapkan frasa itu; guru mengambil satu petikan yang menggambarkan sesuatu kejadian atau peristiwa kemudian pelajar disuruh menggambarkan semula keseluruhan pengalaman berdasarkan kejadian itu.
PENDEKATAN BEBAS
Dalam pendekatan ini, pelajar diberi kebebasan untuk menyuarakan pendapat mereka mengenai sesuatu tajuk karangan. Walau bagaimanapun pendekatan ini hanya sesuai digunakan kepada pelajar yang sudah dapat menguasai bahasa dengan baik. Misalnya dalam pengajaran karangan yang ada hubung kait dengan masalah penggunaan dadah di kalangan remaja, guru boleh membawa keratan-keratan akhbar untuk ditunjukkan kepada pelajar dan menyuruh mereka memberikan pendapat melalui aktiviti sumbangsaran, (brainstorming). Melalui cara ini pelajar akan lebih berminat, aktif dan dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan mereka.
PENDEKATAN KOMUNIKATIF
Pendekatan ini diasaskan oleh Dell Hymes yang antara lain menyatakan bahawa kecekapan komunikatif merupakan penguasaan bahasa secara naluri (instinc) yang dimiliki oleh seseorang penutur (pelajar) yakni keupayaan pelajar menggunakan dan memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan berinteraksi dengan individu lain dan jalinannya dengan konteks sosial (Pg. Hj Mahmud, PL 4203).
Pendekatan ini menegaskan bahawa seseorang yang sudah mempunyai pengetahuan tentang sturktur bahasa dan kebolehan membina ayat-ayat yang gramatis tidak bermakna dia sudah dapat berkomunikasi dengan baik dan berkesan memandangkan kecekapan berbahasa dan berkomunikasi itu juga menitikberatkan unsur-unsur lain yang boleh mempengaruhinya seperti aspek-aspek sosiolinguistik dan psikolinguistik.
Sebagai contoh, karangan tentang kemajuan teknologi perubatan mestilah memasukkan kata atau frasa yang ada hubung kait dengan teknologi tersebut (laras bahasa perubatan). Dari itu, pendekatan ini membolehkan pelajar menggunakan bahasa yang sesuai untuk tujuan berkomunikasi termasuk dalam penulisan karangan.
Dengan menggunakan pendekatan ini, dapat dikatakan bahawa pelajar menulis sesebuah karangan adalah untuk dibaca oleh orang lain atau masyarakat. Dari itu, guru perlu memastikan dan menggalakkan pelajar menulis karangan sama seperti situasi kehidupan seharian mereka. Dalam hal ini, guru harus menyatakan kepada pelajar bahawa karangan yang ditulis adalah untuk dinikmati oleh pembaca termasuk kalangan pelajar lain di dalam bilik darjah.
PENDEKATAN POLA-PERENGGAN
Pendekatan ini mengutamakan ciri-ciri pembentukan perenggan yang baik dalam sesebuah karangan. Ini dapat melatih pelajar supaya berkeupayaan untuk memberikan pendapat dalam perenggan dengan kemas dan teratur. Selain itu, pendekatan ini juga dapat membantu pelajar mengetahui cara-cara meringkaskan karangan dengan baik.
Antara latihan yang dapat diaplikasikan, seperti latihan mengkaji contoh-contoh perenggan yang baik, menyusun ayat-ayat yang disediakan guru dalam satu perenggan yang kemas, pelajar mengenal pasti, memilih dan meninggalkan isi-isi untuk dimasukkan dalam satu perenggan dan pelajar mencari isi penting dan isi bantu dalam sesuatu perenggan.
KAEDAH DAN TEKNIK
PENGAJARAN
Method atau kaedah pengajaran karangan adalah cara atau langkah bagaimana seseorang guru menyampaikan isi pengajarannya dengan kehendak dan cita rasa pelajarnya, di samping mencapai objektif pengajaran.
Terdapat banyak kaedah yang bersesuaian dalam pengajaran karangan tetapi rencana ini hanya akan membincangkan beberapa jenis kaedah sahaja iaitu kaedah komunikatif dan kaedah bergambar dan carta.
Sementara itu, teknik ialah cara yang lebih khusus yang dibuat bagi membantu mencapai objektif pengajaran dan menjayakan kaedah pengajaran. Dalam pengajaran bahasa terdapat pelbagai teknik pengajaran dan biasanya penggabung jalinan teknik-teknik pengajaran kerap dilakukan.
Rencana ini tidak akan membincangkan teknik pengajaran karangan secara terperinci kerana ia secara langsung disentuh dalam penghuraian kaedah pengajaran karangan. Tambahan pula secara umum, kaedah dan teknik pengajaran itu saling berhubung kait. Antara teknik yang diperkatakan secara tidak langsung ialah teknik bercerita, perbincangan, soal jawab, sumbangsaran dan teknik menggunakan gambar.
KAEDAH KOMUNIKATIF
Kaedah komunikatif dapat diaplikasikan dalam pengajaran karangan dengan pelbagai cara, antaranya:
(a) Menjelaskan tujuan setiap latihan atau aktiviti pengajaran pembelajaran karangan yang dijalankan;
(b) Mengadakan aktiviti perbincangan, sumbangsaran atau bersoal jawab untuk memastikan pelajar mengikuti dan memahami (isi-isi) karangan;
(c) Mempelbagaikan latihan dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti lakonan, simulasi, drama, main peranan dan sebagainya yang mewujudkan unusr-unsur komunikasi di kalangan pelajar.
KAEDAH BERGAMBAR
DAN CARTA
Penggunaan kaedah ini bermaksud karangan yang dihasilkan ialah berdasarkan gambar yang dilihat dan ditunjukkan. Kebiasaannya gambar bersiri akan digunakan sebagai ABM dan peristiwa yang terdapat di dalam gambar-gambar itu akan dijadikan bahan karangan, namun kaedah ini juga dapat dilaksanakan menerusi teknik penyampaian gambar slide.
Teknik gambar slide adalah lebih menarik dan dapat menimbulkan minat pelajar kerana ia menyeronokkan ditambah lagi iringan irama muzik yang bersesuaian, umpamanya pertunjukan slide tentang kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Namun teknik slide memerlukan peralatan yang tertentu dan kebanyakannya tidak terdapat di sekolah. Jika menggunakan teknik ini, pelajar mesti mempunyai daya ingatan yang kuat untuk mengingati gambar-gambar slide yang telah ditonton.
Dalam menggunakan kaedah bergambar, terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti dalam menyampaikan pengajaran iaitu:
(a) Gambar yang digunakan mestilah sesuai sebagai ABM dan tahap peringkat pelajar di samping tidak mengenepikan aspek kualiti gambar;
(b) Guru mengarahkan pelajar meneliti gambar yang disediakan dan memikirkan perkara-perkara yang dapat diperkatakan mengenainya;
(c) Pelajar disuruh mencatat idea atau isi penting yang hendak diperkatakan berdasarkan gambar yang dilihat;
(d) Aktiviti sumbangsaran dapat dijalankan iaitu pelajar diberi peluang menyuarakan pendapat dan idea mereka secara lisan dan kemudian guru menulisnya di papan tulis sambil menyemak kegramatisan ayat-ayat yang diutarakan itu;
(e) Guru mengadakan sesi perbincangan dengan pelajar tentang isi-isi yang diberikan dan membuat rumusan mengenai penyusunan isi-isi penting;
(f) Pelajar menulis sebuah karangan berlandaskan perbincangan yang telah dilakukan.
Sementara itu, teknik carta aliran bermaksud guru mengedarkan atau menunjukkan sebuah carta aliran berdasarkan proses-proses penghasilan sesuatu bahan (product). Teknik carta aliran agak bersistematik (telling a story) mengikut kronologi peristiwa. Teknik ini ada persamaan dengan teknik gambar bersiri, hanyasanya setiap proses itu digantikan dengan frasa-frasa yang menceritakan secara ringkas apa yang berlaku pada setiap peringkat yang dipaparkan dalam carta.
Prosedur-prosedur atau peringkat-peringkat itu boleh saja ditunjukkan dengan menggunakan penanda 'anak panah' atau berbentuk paparan carta (graph; pie graph dan bar graph). Contohnya, carta aliran yang memperlihatkan proses membuat jem nenas.
MASALAH PENGAJARAN KARANGAN
Terdapat banyak masalah yang berhubung kait dengan pengajaran karangan di sekolah-sekolah di negara ini. Antaranya pengaruh kesebatian penggunaan bahasa dialek Bahasa Melayu Brunei (BMB) dan inilah faktor utama menyumbang kepada berlakunya kesalahan-kesalahan penggunaan tatabahasa Bahasa Melayu Standard (BMS) dengan betul.
Masalah ini tidak hanya tertumpu kepada pihak pelajar bahkan kepada sebilangan besar guru bahasa sendiri kerana melalui observasi yang pernah penulis lakukan kebanyakan guru bahasa lebih berminat menggunakan BMB dari BMS sepanjang sesi pengajaran.
Selain itu, faktor kekurangpekaan guru terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan pelajar juga perlu diambil perhatian seperti kesalahan menggunakan tanda-tanda baca, tatabahasa - cara membuat ayat yang betul, jenis-jenis ayat; ayat tunggal; ayat majmuk dan sebagainya. Masalah-masalah ini tidak harus dibiarkan demi kebaikan pelajar dan demi mengelakkan masalah-masalah itu berlanjutan, khasnya apabila pelajar itu hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.
KESIMPULAN
Karangan merupakan salah satu kemahiran yang amat penting dalam pengajaran kemahiran menulis selain kepentingannya dalam konteks komunikasi. Oleh itu, guru bahasa mesti mengajarkan penulisan karangan kepada pelajar secara berkesan mengikut tahap atau peringkat pencapaian pelajar.
Selain itu, guru bahasa juga mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan ilmu linguistik kerana mengajarkan karangan meliputi semua aspek bahasa seperti sintaksis, fonetik dan fonologi, semantik, pragmatik dan ilmu-ilmu bantu yang lain seperti sosiolinguistik, psikolinguistik dan bidang analisis kesalahan bahasa.
Pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran karangan yang digunakan mestilah bersesuaian dengan minat, tahap pencapaian pelajar dan ABM yang berkesan.
Selain itu, faktor sikap guru juga memainkan peranan dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran pembelajaran di bilik darjah. Maksudnya pengajaran guru harus dinamik dan berubah-ubah supaya pelajar dapat bergiat aktif dan menyukai, enjoy dalam setiap aktiviti-aktiviti pengajaran yang dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment