Friday, April 15, 2011

KONSEP 5P

Apakah yang dimaksudkan dengan konsep 5P?. Konsep ini merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah. Konsep 5P juga merupakan satu saranan supaya bidang kemahiran atau bahan pengajaran dan pembelajaran disampaikan secara bersepadu dan tidak secara berasingan.Konsep 5P menekankan penggabungjalinan , penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan.
1. Penggabungjalinan
Penggabungjalinan ialah satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang menyarankan supaya bidang kemahiran yang berkait rapat atau bahan pengajaran yang mempunyai urutan yang baik tidak disampaikan secara berasingan. Strategi ini berhasrat untuk menjadikan aspek kemahiran saling memperkukuh dan bahan pengajaran saling melengkapi. Dalam hal ini, sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan.
Tujuan strategi penggabungjalinan seperti yang berikut:

a. Kemahiran dapat dikuasai secara serentak.
b. Bentuk pengajaran lebih menarik dan berkesan.
c. Berpeluang untuk menggunakan kemahiran secara semula jadi.
d. Aktiviti melibatkan pelbagai kemahiran dan ramai pelajar.
Prinsip-prinsip penggabungjalinan

•Mudah ubah, bergantung kepada matlamat dan objektif yang hendak dicapai.
•Guru mesti tahu apa dan berapa kemahiran yang ingin digabungjalinkan.
•Kemahiran fokus dan sampingan hendaklah dirancang dengan baik.
•Berdasarkan kebolehan dan pencapaian pelajar
Bentuk-bentuk penggabungjalinan

Ada 3 bentuk penggabungjalinan :

1.Penggabungjalinan kemahiran
2.Penggabungjalinan bahan
3.Penggabungjalinan aktiviti

2. Penyerapan

Penyerapan merupakan proses penyebatian dan menyatupadukan pengetahuan atau unsur pengetahuan daripada satu mata pelajaran lain sebagai isi pelajaran bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar. Dalam pengajaran Bahasa Melayu unsur ilmu, nilai, dan kemahiran bernilai tambah seperti kemahiran berfikir, kemahiran belajar, dan kajian masa depan boleh diserapkan.

Dalam program KBSR, penyerapan boleh dilihat dalam dua aspek utama iaitu aspek pembelajaran dan aspek komunikasi
2.5.1 Tujuan Penyerapan.

Aspek ini boleh membantu murid untuk :
a.Menambahkan kefahaman dan kemahiran untuk mematuhi arahan dan peraturan melalui
aktiviti yang dijalankan;
b.Membentuk sikap ingin menambahkan ilmu pengetahuan;
c.Meluaskan ruang untuk meneroka bidang ilmu yang mereka minati;
d.Memupuk corak pemikiran yang terbuka dan sentiasa ingin tahu;
e.Membentuk pemikiran yang rasional, logik, objektif, dan positif; dan
f.Meluaskan ruang untuk meneroka bidang ilmu yang diminati.
g.Membantu murid menguasai pengetahuan tentang penggunaan perbendaharaan kata, pemilihan laras bahasa, tatabahasa, kegunaan intonasi, dan perlakuan bukan bahasa yang lain mengikut konteks;
h.Memahami dan menerima serta mengamalkan aspek nilai yang sesuai untuk perkembangan diri; dan

i.Menguasai dan mengamalkan tingkah laku yang bersesuaian dan diterima oleh
rakan sebaya dan masyarakat.
2.5.2. Unsur Penyerapan dalam pengajaran Bahasa Melayu.
Terdapat 5 unsur penyerapan iaitu :

i.Ilmu Pengetahuan.
•Bahan atau kandungan isi pelajaran daripada mata pelajaran lain seperti Agama
Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Seni, Matematik, Kajian Tempatan, Muzik, Sains,
dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang digunakan sebagai isi kandungan dalam
satu mata pelajaran untuk mata pelajaran lain.
•Pelbagai karya sastera seperti pantun, syair, dan sajak.
•Pengetahuan am seperti hal ehwal semasa dan hal ehwal dalam negeri.
•Hal ehwal budaya, warisan, dan kemasyarakatan.

ii.Nilai murni.
Nilai murni boleh diterapkan dengan berbagai-bagai cara sepanjang pengajaran dan secara terancang dalam aktiviti pembelajaran. Strategi utama untuk pembinaan nilai murni ialah melalui aktiviti secara individu, berkumpulan, atau kelas.
Kadangkala nilai murni tidak dinyatakan secara terus, tetapi boleh disampaikan secara terancang dalam satu waktu pengajaran dan pembelajaran. Pemupukan nilai murni ini boleh dilakukan melalui aktiviti yang melibatkan murid secara aktif seperti gerak kerja kumpulan dan kerja projek.
Penyerapan nilai dalam pengajaran dapat melahirkan insan yang baik , berakhlak mulia , berhemah tinggi, berperibadi mulia dan prihatin serta memahami antara satu dengan lain.

iv.Kewarganegaraan
Penyerapan unsur patriotisme dalam pengajaran Bahasa Melayu mengutamakan pemupukan semangat cinta dan taat setia akan negara Malaysia. Aktiviti ini bertujuan untuk melahirkan warganegara yang baik dan meningkatkan komitmen individu terhadap bangsa dan negara.

v.Peraturan sosio-budaya.
Peraturan sosio-budaya dalam pendidikan Bahasa Melayu meliputi kesantunan bahasa, laras bahasa dan peribahasa yang diamalkan dalam nasyarakat Malaysia.Peraturan sisio-budaya ini mencerminkan falsafah dan keperibadian masyarakat Malaysia.

vi.Kemahiran Bernilaian Tambah.
Penyerapan kemahiran bernilai tambah dalam pengajaran bahasa bagi membolehkan pelajar dapat mengaplikasikan kemahiran itu dapat dunia sebenar pelajar. Antara kemahiran bernilai tambah ialah kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan dan kecerdasan pelbagai

3. Pengayaan
Pengayaan adalah sejenis aktiviti pembelajaran yang menarik dan mencabar untuk memberi peluang kepada murid mengembangkan sifat ingin tahu, semangat berdikari, daya kreativiti, dan semangat kepemimpinan. Pengayaan disediakan untuk semua murid sama ada kumpulan cerdas, sederhana, atau lemah. Aktiviti pengayaan berlainan daripada aktiviti pembelajaran kemahiran asas. Aktiviti ini diberikan kepada murid selepas mereka berjaya menguasai kemahiran asas tertentu. Murid menggunakan kemahiran yang telah dikuasai untuk menjalankan aktiviti pengayaan. Aktiviti pengayaan akan meluaskan pengalaman dan pengetahuan murid sejajar dengan kebolehan dan minat mereka dalam bidang tertentu.
Objektif Pengayaan
a.Menggunakan kemahiran yang telah dikuasai dalam pelajaran biasa untuk memperluas
pengalaman dan pengetahuan mereka dalam pelajaran tertentu;
b.Melakukan kegiatan pembelajaran yang menarik dan mencabar kebolehan mereka;
c.Melahirkan daya cipta melalui pemikiran dan kegiatan serta kebolehan untuk menilai
sesuatu hasil kerja sendiri;
d.Meminati dan menguasai bacaan luas dengan membuat rujukan terhadap pelbagai bahan
dan sumber pengetahuan;
e.Berminat untuk belajar sendiri dan berdikari untuk membolehkan mereka meneruskan
pembelajaran seumur hidup.

4. Pemulihan
Dalam konteks ini pemulihan dihubungkan dengan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan pembelajaran. Pengajaran pemulihan merupakan langkah khas yang guru lakukan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira. (3M) Sebaik sahaja masalah pembelajaran dikesan dan dikenal pasti, program ini akan dilaksanakan. Murid-murid dalam kategori pemulihan perlu didedahkan dengan aktiviti ini mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran supaya jurang perbezaan antara mereka dengan murid lain dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali.
Objektif program pemulihan
Antara objektif strategi pemulihan ini adalah untuk membolehkan murid:
a)Menguasai kemahiran tertentu dengan mengikuti aktiviti yang sesuai dengan mereka;
b)Mendapat layanan dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan
perkembangan mental individu;
c)Mengurangkan masalah yang dihadapi melalui bantuan guru;
d)Mengembangkan potensi dan minat mereka dalam pelajaran ke taraf yang lebih maju;
e)Mendapat peluang yang sama dengan melibatkan diri dalam aktiviti sosial sama ada
di dalam atau di luar bilik darjah;
f)Membina, memperoleh, dan mengembangkan sikap percayakan diri sendiri dan berdikari;
g)Dapat meneruskan pelajaran mereka dalam sistem persekolahan biasa yang bersesuaian
dengan keperluan masing-masing

5. Penilaian
Stufflebeam et. al. (1971: xxv) menyatakan “penilaian” sebagai the process of delineating, obtaining, and providing useful information for judging decision alternatives. Terry D. TenBrink (1974:8) pula menyatakan bahawa penilaian merupakan suatu proses mendapatkan maklumat yang akan digunakan untuk membuat pertimbangan yang seterusnya digunakan dalam membuat keputusan.
Sebagai rumusannya, penilaian merupakan satu proses atau aktiviti yang sistematik untuk memperoleh maklumat yang berguna dalam menentukan sesuatu prestasi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Dalam Bahasa Melayu KBSR, penilaian merupakan satu proses untuk menguji, mengukur, dan membuat pertimbangan mengenai kebolehan atau kemahiran dan kefahaman murid berdasarkan objektif P&P.

Rujukan:
MODUL BAHASA MELAYU
BMM 3101
PENGAJIAN SUKATAN PELAJARAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH
PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU SEKOLAH RENDAH (PGSR)
BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
SEKTOR PEMBANGUNAN PROFESIONALISME KEGURUAN
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Tugasan MZP3108P Alat Muzik Utama-Piano 1

Piano sering digelarsebagai alat muzik yang sempurna. Seseorang dapat mengalami semua elemen-elemen muzik seperti melodi,ritma dan harmoni pada piano. Kemahiran memainkan piano yang baik memerlukan pembacaan notasi dalam klef trebel dan bes.
Secara individu anda dikehendaki:
1. Mencari maklumat dan menulis tentang aspek-aspek yang penting dan perlu ada dalam menghasilkan permainan piano yang baik.
2. Proses memain lagu-lagu pilihan dengan apliksi aspek-aspek yang ada semasa menjalankan amali sebelum ujian sebenar sebagai persediaan membina keyakinan.

Tugasan EDU3106 Budaya Dan Pembelajaran

Secara kumpulan, anda dikehendaki mengkaji sesuatu etnik secara terperinci. Berasaskan budaya kumpulan etnik tersebut, anda dikehendaki membuat analisis mengenai isu-isu yang berkaitan dengan kumpulan etnik tersebut. Anda juga dikehendaki melakonkan mana-mana satu isu budaya tersebut.

Anda akan dinilai dari segi:
(i) Esei individu mengenai isu di atas (30%)
(ii) Pembentangan dalam bentuk lakonan atau drama (40%)
(iii) Folio yang mengandungi bahan-bahan yang berkaitan, bukti proses melakukan kerja kursus dan refleksi (20%)
(iv) Sahsiah dan sikap (10%)
Arahan Tugasan
1. Tugasan Kumpulan ( Pembentangan dan Lakonan )
i. Kumpulan tediri daripada 3-4 orang
ii. Masa pembentangan 10-15 minit
iii. Masa lakonan 10-15 minit
iv. Lakonan berdasarkan kreativiti kumpulan
v. Isu yang dipilih mestilah sesuai
2. Tugasan Individu (Esei)
i. Panjang laporan analisis tidak melebihi 1000 patah perkataan dan ditaip dengan menggunakan font Arial saiz 12, dengan langkau satu setengah baris.
ii. Rujukan menggunakan format APA.
iii. Kulit luar tugasan menggunakan kertas polos (plain paper) berwarna kuning tua.
iv. Keseluruhan tugasan perlu menunjukkan keaslian, kematangan dan kualiti akademik.
v. Sertakan borang bukti kolaborasi.
vi. Muka hadapan laporan dan portfolio mengandungi
- Nama pelatih - program
- Angka giliran - nama pensyarah pembimbing
- Nombor kad pengenalan - tarikh hantar
- Kod mata pelajaran
3. Tarikh hantar tugasan esei : 15 Mei 2011